Sabtu, Disember 8

Malu-malu meow.


Keajaiban itu bukan mitos, rupanya. Marilah aku kisahkan kenapa.

Salam 'Alaik. Aku ini asalnya roh. Berkediamankan Lauhul Mahfuz. Kemudiannya, Sang Pencipta pinjamkan aku sebujur jasad. Dengan takdir yang Dia sendiri rencanakan, jasad itu diberi nama. Mukadimmah kata aku ini cumalah mau aku suratkan, yang penghidupan aku ini Dia yang ciptakan. Dia yang tentukan aku begini dan begitu. Alhamdulillah ke hadrat Penciptaku. Mahu disusunkan jadi hikayat, Dia sisipkan sedikit dari cabang iman dalam jasad aku ini, sebuah perasaan. Perasaan..

MALU.

Malu-malu aku, ada iras-iras makhluk Tuhan yang kosa katanya cuma, "Meow". Kalau dia lapar dia "Meow!". Sambil dia "Meow!" dia jeling, dengan gaya tak berpaling. Makin lama makin dekat. Nanti kejap-kejap dia berhenti, kononnya tak ambil peduli. Hakikatnya dia memang nak. Tahu-tahu sudah kenyang, dengan ekor meninggi ke langit. Tak kiralah, biarpun dia dapat dari hasil malu-malu dia, atau dengan cara haram. Zappp!! cekau dari pinggan!! Nah, aku tak mencekau, apatah lagi dengan cara yang haram, itu memang tidaklah. Bukan gaya aku. Aku reti guna akal. Tapi aku..

MALU.

Dari jauh perhatikan. Sampai jemu. Lama-lama rasa itu melapuk dan membeku, tidak lagi eksis dengan kuasa-Nya. Sebab otak bagi pesanan pada Hati, "Barangkali ini ujian-Nya". Hati pun dah lali, maka "Au revoir!" kata aku.

Keajaiban berlaku bila yang aku dok perhatikan itu, dengan sendirinya datang. Memang tidak berjemput datangnya, terang-terang bukan di dalam mimpi. Dalam hati tersentak, jantung semacam nak luruh. Tersenyum sendiri aku. Rupanya yang dipendam bukan terus mati, rupanya Dia mendengar. Kalau tidak berputus-putus doanya. Kalau luahan kita serah pada-Nya. Tidaklah kita rugi. Kan dia itu Yang Maha Tahu Segalanya. Tidak terlalu menjunam ke dasar, aku cuba kayuh naik ke permukaan. Kalam Dia,

"... boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah: 216).

Terakibatkan dari ayat itu, takut-takut yang Nikmat rupanya Musibat. Nauzubillah. Maka, aku jadi...



..MALU

Apakah yang aku pohon-pohon selama ini, umpama menanam pohon ganja buat perubatan, akhirnya terkonsum mengikut nafsu serakah dan terlebih khayal, lalu gian dan gila? Seharusnya aku menguncup. Dan biar iman jadi duri-durinya. Jangan sampai kedapatan. Ahhh.. MALU!!